PENGENALAN


Konsep memperkasa budaya kesukarelawanan melibatkan cabang yangamat luas memandangkan dimensi ini memberi fokus kepada pembangunan komuniti secara keseluruhan. Istilah kesukarelawanan merupakan satu terma global yang semakin mendapat perhatian kerana kemampuannya dalam merangsang penyertaan masyarakat untuk terlibat dengan kerja-kerja amal yang membawa faedah kepada orang awam (United Nations Vounteer, 2011). Secara amnya, sukarelawan berperanan sebagai mediator bagi menghubungkan ahli komuniti dengan sumber yang diperlukan oleh mereka serta bertanggungjawab dalam mengurangkan diskriminasi yang wujud terhadap golongan marginal (United Nations Vounteer, 2011). Menurut Ibrahim et al., (2015), keanggotaan seseorang individu dalam aktiviti sukarela adalah berasaskan kepada kesanggupan mereka untuk berbakti kepada orang awam tanpa sebarang bentuk paksaan. Selain itu, Ibrahim et al., (2015) turut mendapati bahawa penglibatan secara aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dapat membantu seseorang individu untuk; (i) menjadi warganegara yang penyayang dan bertanggungjawab, (ii) mempunyai kepekaan dan pemahaman yang mendalam mengenai masalah sosial serta (iii) meningkatkan keprihatinan terhadap keperluan orang lain. Tambahan pula, Rokach et al., (2009) mendapati bahawa individu yang kerap terlibat dengan kerja-kerja amal mempunyai keperibadian diri yang unggul serta peka terhadap isu-isu sosial berbanding dengan individu yang tidak pernah menyertai sebarang aktiviti amal. Wymer (2011) mendefinisikan kesukarelawanan sebagai pekerjaan tanpa upah bagi tujuan membantu pihak ketiga manakala Ibrahim et al., (2015) menjelaskan bahawa kesukarelawanan merupakan segala bentuk aktiviti yang dilakukan bertujuan untuk membantu orang lain serta tidak berasaskan kepada keuntungan, ganjaran dan faedah. Secara lazimnya, pemahaman mendalam mengenai konsep kesukarelawanan dapat mengoptimumkan tahap kesedaran serta mendorong seseorang individu untuk tampil kehadapan bagi memikul tanggungjawab sosial yang memberi dampak positif terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat (Bang & Ross, 2009). Bang dan Ross (2009) menyatakan bahawa sukarelawan tergolong dalam kumpulan homogenus memandangkan setiap individu yang terlibat dengan kerja-kerja amal terdiri daripada; (i) kumpulan umur yang berbeza, (ii) mempunyai latar belakang kehidupan yang berlainan serta (ii) mempunyai pengalamandan kemahiran yang berbeza.


                                     
                           Asimilasi Kesukarelawan Belia                                  Sukarelawan Belia
                                Dalam Konsep Memberi                                                Nasional


Pengkaji daripada negara Barat menjelaskan bahawa penglibatan dalam kerja-kerja amal dapat membantu golongan sukarelawan untuk menjalin hubungan yang kukuh (conscience collective) bersama anggota masyarakat serta mewujudkan sebuah platform bagi membantu kumpulan sasaran (Hyde & Knowles, 2013). Seterusnya, penyertaan aktif seseorang individu dalam aktiviti kesukarelawanan dapat membantu ahli komuniti untuk mencapai perubahan yang diinginkan serta memberi ruang bagi memahami dan menghargai keperluan satu sama lain (Hyde & Knowles, 2013). Selain itu, menurut pandangan Hyde et al., (2013) penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan dapat membantu mengukuhkan lagi semangat perpaduan serta membuka ruang untuk menghulurkan bantuan dan perkhidmatan yang bermakna kepada ahli komuniti. Tambahan pula, Law dan Shek (2009) mendapati bahawa kebanyakkan daripada individu terus melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan kerana mereka mendapat kepuasan diri yang optimum, mempunyai harga diri yang positif, memiliki kawalan diri yang kukuh serta mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik. Secara lazimnya, komponen kesukarelaan adalah amat penting bagi meningkatkan penglibatan seseorang individu dalam aktiviti kesukarelawanan (Clerkin et al., 2009). Clerkin et al., (2009) menjelaskan bahawa dimensi kesukarelaan meliputi tiga aspek utama iaitu; (i) kesanggupan – keinginan untuk menjadi sukarelawan dipengaruhi oleh elemen sikap, motif psikologi dan nilai moral yang menjadi pegangan kehidupan seseorang individu, (ii) keupayaan – kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki oleh seseorang individu bagi membantu, membimbing serta mempertingkatkan kefungsian ahli komuniti dan (iii) kesediaan – kebolehan untuk mengimbangi kekangan masa dan tanggungjawab yang sedia ada (pekerjaan, keluarga, pendidikan, rakan-rakan) bagi membantu ahli komuniti. United Nations Vounteer (2011) menyatakan bahawa penglibatan dalam aktiviti kesukarelaan mampu memberi manfaat dari pelbagai aspek yang berbeza iaitu; (i) membentuk ikatan sosial yang kukuh serta menjadi “social glue” bagi merapatkan jurang di antara nilai dan budaya masyarakat yang berbeza (terutamanya bagi negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum), (ii) membentuk jaringan sosial yang lebih luas serta menyumbang ke arah pembangunan diri yang positif, (iii) meningkatkan keharmoniaan masyarakat serta membantu individu agar berfikiran secara terbuka dan (iv) mengukuhkan hubungan sosial di antara pelbagai lapisan masyarakat bagi menjana model sosial yang beretika, bertoleransi, bersatu padu dan bermuafakat. Berdasarkan perspektif persatuan/organisasi pula didapati bahawa dimensi perekrutan adalah mustahak bagi meningkatkan penglibatan seseorang individu dalam aktiviti kesukarelawanan (Clerkin et al., 2009). Secara amnya, perekrutan terdiri daripada tiga dimensi utama iaitu; (i) pengaksesan – bagi merekrut lebih ramai sukarelawan lokasi sesebuah persatuan/organisasi seharusnya berada dalam kedudukan yang strategik, (ii) sumber – aspek kewangan adalah amat penting bagi memberikan latihan bagi sukarelawan baharu serta meneruskan pelan tindakan yang telah dirancang serta (iii) rangkaian dan kerjasama – kerjasama yang dijalankan dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan meluaskan lagi skop perkhidmatan yang ditawarkan kepada komuniti (Clerkin et al., 2009). Memandangkan penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan menawarkan pelbagai faedah yang holistik maka kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti faktor pemangkin yang menyumbang ke arah pembudayaan kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

Comments